Video kucing cuba gali kubur pencinta haiwan tular

KITA sering dianjurkan untuk berbuat baik kepada semua makhluk Allah, termasuk haiwan.

Ganjaran bagi mereka yang mengasihi haiwan bukan sahaja di akhirat, malah di dunia.

Seorang pengguna Facebook, Soffuan CZ memuat naik beberapa keping gambar dan video yang diambil pada upacara pengebumian datuknya di sebuah masjid di Langkawi.

Namun apa yang menarik perhatian adalah seekor kucing yang dilihat cuba menggali kubur arwah datuknya yang dipanggil Tok Wan itu.

Tidak dapat dipastikan jika kucing berkenaan adalah peliharaan datuknya, namun dalam status yang dimuat naik, Soffuan menceritakan arwah seorang yang sangat menyayangi kucing semasa hayatnya.

Dalam video itu, dapat dilihat dengan jelas kucing berkenaan berusaha untuk menggali tanah pusara yang baru sahaja dikambus, biarpun dihalang.

Malah setelah cuba dibawa jauh dari kawasan kubur, kucing putih itu tetap tidak mahu berganjak.

Video berkenaan setakat ini sudah menerima lebih 300,000 tontonan dan lebih 5,000 perkongsian selepas sejam dimuat naik.

CREDIT TO MADIHA ABDULLAH, ASTRO AWANI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *