Tangani kes kekejaman ke atas haiwan sebagai kesalahan berat – SAM

GEORGE TOWN: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa pihak polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) supaya menangani kes penderaan haiwan sama seperti menangani kes jenayah berkaitan manusia.

Presiden SAM SM Mohamed Idris berkata, jumlah aduan mengenai kes itu telah meningkat sejak lima tahun yang lalu sambil menambah bahawa JPV menerima 463 aduan kekejaman terhadap haiwan pada 2016, dan menerima 510 aduan pada tahun berikutnya.

Beliau juga berkata kekejaman terhadap haiwan bukanlah secara tidak sengaja dilakukan oleh individu tetapi perbuatan itu sengaja dilakukan terhadap haiwan yang hidup dan oleh itu ia harus ditangani sama seperti jenayah lain seperti kes kecurian.

“Desakan untuk mengenakan hukuman penjara adalah setimpal dengan kekejaman ke atas haiwan dengan desakan semakin meningkat supaya pelaku jenayah itu dikenakan hukuman punitif sebagai pengajaran kepada orang lain daripada melakukan perbuatan itu, ” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan mengenai kes kekejaman terhadap haiwan baru-baru ini, termasuk kejadian seekor anjing diseret oleh sebuah lori di Seberang Jaya dan satu kes melibatkan dua lelaki yang memasukkan seekor kucing yang bunting ke dalam mesin pengering dobi.

Di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2017, sesiapa yang didapati bersalah melakukan penderaan atau kekejaman ke ats haiwan boleh didenda maksimum RM100,000, atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

 

CREDIT TO BERNAMA, ASTRO AWANI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *