Anak Kucing Menangis Selama 10 Jam Dalam Enjin

ANAK kucing berusia empat bulan terpaksa menahan kesakitan kira-kira 10 jam selepas kepalanya tersangkut di dalam ruangan enjin kereta terbiar di Taman Santan 2, Kangar, hari ini.

Jurucakap Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari lelaki berusia lewat 40-an pada 8.15 pagi tadi.

Katanya, lelaki terbabit memaklumkan dia terdengar bunyi anak kucing sejak 11 malam tadi di belakang rumah.

“Dia ada keluar mencari arah bunyi kucing berkenaan, namun tidak menemuinya sebelum masuk semula ke dalam rumah,.

“Bagaimanapun bunyi anak kucing itu masih kedengaran pagi ini dan selepas mencarinya, ia datang dari kereta terbiar di belakang rumahnya sebelum pergi memeriksa dan menemui seekor anak kucing yang tersangkut kepalanya di bahagian karburetor.

Beliau berkata, lelaki terbabit cuba mengeluarkan kepala anak kucing itu tetapi tidak berjaya sebelum menghubungi APM bagi membantu anak kucing berkenaan.

“Kami mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan anak kucing berkenaan dengan memotong sebahagian bekas enjin kereta sebelum menggunakan minyak masak bagi mengeluarkan kepala anak kucing.

“Anak kucing terbabit dalam keadaan baik tetapi lemah. Kini ia sudah diserahkan kepada lelaki terbabit untuk dijaga,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *